Sekilas tentang Tauhid Asmaa' Wa Sifat (asmaul husna)
8:16 AM | Author: Ibnu Siddique

Buku saku kecil Asmaul Husna
credit picture goes to Ukhti Syuhada..

"Bahawasanya Allah SWT mempunyai 99 nama. Barang siapa menghafalnya nescaya akan dimasukkan kedalam syurga"- Hadis Riwayat Imam Bukhari

"Allah SWT mempunyai asmaa'ul husna(nama- nama yang indah) maka memohonlah kepadaNya dengan menyebut asmaa'ul husna"

Apakah maksud sabda Rasulullah s.a.w. berkenaan nama-nama Allah yang mulia

[Siapa yang menghitungnya akan masuk syurga]?


Hadith ini telah dihuraikan dengan beberapa huraian seperti berikut:

1- Menghafalnya dan berdoa menggunakannya serta memuji Allah dengannya.

2- a. Mengikuti apa yang boleh diikuti seperti al-Rahim dan al-Karim. Hamba hendaklah melatih dirinya supaya mempunyai sifat itu mengikut kemampuannya.

b. Menetapkan apa yang khas untuk Allah seperti al-Jabbar (Maha Perkasa), al-Azim (Maha Agung) dan al-Mutakabbir (Maha Megah). Hamba hendaklah menetapkannya serta merendahkan diri terhadapnya dan tidak meniru sifat tersebut.

c. Mengharapkan apa yang menunjukkan pengharapan seperti al-Ghafur (Maha Pengampun), al-Syakur (Maha Mensyukuri), al-Afu (Maha Pemaaf), al-Rauf (Maha Pengasih), al-Halim (Maha Penyantun), al-Jawwad (Maha Pemurah) dan al-Karim (Maha Pemurah). Hamba hendaklah membayangkan sifat ini semasa meminta.

d. Berasa takut terhadap apa yang menunjukkan amaran dan ancaman seperti Aziz (Maha Agung) Zi intiqam (Empunya balas dendam), Syadid al-iqab (Maha pedih balasanNya), Sari' al-hisab (Maha cepat hitunganNya). Hamba hendaklah membayangkan sifat ini semasa dipanggil nafsu.

3- Naik saksi terhadapnya dan memberi haknya samada dari sudut pengetahuan mahupun penghambaan.
Contohnya hamba yang naik saksi terhadap ketinggian Allah Ta'ala ke atas makhlukNya, berada tinggi di atas singgahsanaNya, terasing dari makhluk di samping sifatnya merangkumi mereka dari sudut ilmu, kuasa dan sebagainya. Dia juga menyembah Allah mengikut tuntutan sifat ini di mana dia merasakan bahawa Allah adalah tempat dia bergantung, tempat dia mengadu sambil merendah diri di hadapan Allah kerana mengetahui dia adalah seorang hamba yang mengadap Tuhannya yang Maha Agung. Dia merasakan bahawa perkataannya dan perbuatannya naik dan akan dibentangkan kepada Allah yang menjadikannya malu untuk melakukan perkara yang mengaibkannya kelak. Dia juga naik saksi bahawa perintah Allah turun kepada setiap pelusuk dunia pada setiap masa dengan pelbagai urusan dan pentadbiran seperti menghidupkan dan mematikan, memuliakan dan menghina, mengangkat dan merendahkan, memberi dan menegah, mengalih musibah dan mendatangkannya, mengubah keadaan-keadaan manusia dan lain-lain urusan dalam kerajaanNya yang hanya diuruskan olehNya sahaja. Tiada yang dapat menghalang urusan-urusanNya ini.

Firman Allah Ta'ala ( al-Sajdah 32:5):

Maksudnya: Dia mengatur urusan dari langit ke bumi, kemudian (urusan) itu naik kepadaNya dalam satu hari yang kadarnya (lamanya) adalah seribu tahun menurut perhitunganmu.

Sesiapa yang dapat melaksanakan kesaksian ini dari sudut pengetahuan mahupun penghambaan, maka sesungguhnya Tuhannya telah memadainya dan dia tidak perlu kepada yang lain. Begitu juga keadaannya dengan orang yang dapar melaksanakan kesaksian bahawa ilmu Allah serta segala sifatNya merangkumi segala sesuatu. Keadaan ini tidak dapat dikecapi kecuali oleh para al-Sabiqun (mendahului) al-Muqarrabun (didekatkan).


Maha suci Allah daripada apa yang diperkatakan oleh orang-orang yang zalim dan menyeleweng serta menafikan nama-namaNya. Firman Allah Ta'ala ( Maryam 19:65):

Maksudnya: Tuhan (yang menguasai) langit dan bumi dan apa-apa yang ada di antara keduanya, maka sembahlah dia dan berteguh hatilah dalam beribadat kepadaNya. Apakah kamu mengetahui ada seorang yang sama dengan Dia (yang patut disembah).

Firman Allah Ta'ala ( al-Syura 42:11):

Maksudnya: Tidak ada sesuatupun yang serupa dengan Dia, dan Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat.

Firman Allah Ta'ala ( Taha 20:110):

Maksudnya: Dia mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang ilmu mereka tidak dapat meliputi ilmuNya.


Mudah untuk kita membahaskan kewajipan beriman dengan sifat-sifat Allah sebagaimana ia datang dalam al-Quran dan as-Sunnah yang sahih tanpa melakukan sebarang penyelewengan dan penyamaan dengan makhluk.

Akan tetapi, apakah natijahnya kepada diri kita? Apakah kita benar-benar mengambil i'tibar dan pengajaran daripada Nama-Nama dan Sifat-Sifat Allah.

Kita beriman bahawa Allah SWT Maha Melihat dan Mendengar. Apakah kita menjaga lidah kita daripada berkata yang kotor? Mengumpat, mencaci, memfitnah?

Kita beriman Allah Maha Melihat, apakah kita menjaga kelakuan kita di tempat yang tertutup dari melakukan ma'siat?Apakah kita menundukkan mata apabila melihat yang bukan Mahram?

Kita beriman Allah Maha Tinggi di atas ArsyNya. Apakah sikap kita dan tingkah laku kita menggambarkan kita sebagai seorang yang sedar betapa rendahnya kita berbanding Allah? Atau kita bersikap takbur dan 'ujub.

Kita beriman Allah SWT Maha Pengampun, apakah kita bertaubat, berIstighfar memohon keampunan kepadaNya?

Kita tahu Allah Maha Mengetahui, Maha Hidup, Tidak tidur dan tidak Mengantuk, tetapi kita...?

Bila berdoa, ingatlah bahawa Allah itu Maha Pemurah dan Penyayang.

Apabila nafsu memanggil-manggil kita, ingatlah bahawa Allah amat keras seksaanNya dan amat pantas HisabNya.

Bila bertaubat, ingatlah Allah Maha Pengampun.

Bila bersedih ingatlah Allah Bersama kita.

Bila mendapat rezeki, ingatlah Allah Maha Pemberi.

Ingatlah nama dan sifat-sifat Allah. Hayatilah, sungguh indah hidup ini andai Nama-Nama dan Sifat-Sifat Allah kita hayati dan kita jadikan i'tibar.

Wallahua'alam.


|
This entry was posted on 8:16 AM and is filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.

0 comments: