Politik Perak : Kemelut berjuang tanpa manhaj
7:49 AM | Author: Ibnu Siddique

politik-perak1

Sebelum 16/9/2008 (Hari Malaysia) lalu, DS Anwar Ibrahim (PKR) cuba melompatkan wakil-wakil rakyat BN ke PR. Hari ini DS Najib Razak (UMNO) berjaya melompatkan wakil-wakil rakyat PR ke BN. Hasrat dan keputusan majoriti rakyat di kawasan pilihanraya berkenaan diketepikan, bahkan dihampakan.

Bila kita menyebut pentingnya Tarbiyah (mendidik) diri, keluarga dan masyarakat terlebih dahulu (lihat Amal 7), mendahului penglibatan politik kepartaian, ramai yang menyanggah dengan berbagai hujah seperti lambat, realiti Malaysia berbeza, keadaan dah mendesak dsb. Tidak kurang yang menyerang dengan kata-kata kolot, tidak pandai selok belok pengurusan dan strategi, sufi dll.

Lompat melompat dan usaha-usaha melompatkan orang adalah senerio politik kepartaian yang agak menghampakan saya. Bukan hampa kerana PR jatuh, BN naik atau sebaliknya, tetapi hampa kerana setelah hak rakyat memilih wakil mereka di DUN dan Parlimen dijanjikan dalam Perlembagaan, kini keputusan dan hasrat mereka dihampakan oleh senerio Lompat Melompat, sedang Syarak menyebut “Al-Mukmin ala syurutihi” bermaksud seorang beriman itu dipegang pada syarat-syarat (janji-janjinya). Kenapa tidak. Rakyat sebagai hakim dalam Pilihanraya telah memutuskan pilihan mereka. Petugas-petugas Pilihanraya telah bertungkus lumus berkempen siang malam dari rumah ke rumah, berkorban masa, tenaga, wang ringgit demi memenangkan calon bukan pilihan mereka, tetapi pilihan pimpinan parti mereka, tiba-tiba setelah menang, wakil tersebut mencurahkan baktinya kepada parti lain, yang majoriti rakyat di kawasan telah menolak parti tersebut semasa Pilihanraya. Jika saya di Seremban terasa hampa, bagaimana rakyat dan petugas di kawasan-kawasan DUN di Perak yang terbabit? Bagaimana mereka di kawasan lain yang bakal menyaksikan aksi lompat melompat selepas ini, jika ada. Secara logiknya, terutama di negeri yang dimenangi oleh majoriti tipis, sesiapa sahaja boleh melompat dengan lompatan pertama, atau boleh melompat semula dengan lompatan kedua, lalu memindahkan kuasa kepada parti tertentu. Apatah lagi jika ada habuan wang ringgit ribuan dan jutaan. Dimanakah prinsip perjuangan? Dimanakah amanah parti dan pengundi yang dipikulkan ke atas bahu seorang wakil rakyat ? Lebih asas lagi, dimanakah keikhlasan, keyakinan dan akhlak ? Lebih awal lagi, dimanakah Tarbiyah yang menyediakan ahli dan pimpinan ke arah memiliki prinsip Perjuangan, sifat amanah dengan Mandat, ikhlas, keyakinan terhadap Manhaj dan berakhlak dengan akhlak Mukmin sejati ? Malangnya bahasa seperti ini tidak difahami oleh mereka yang samada tidak ikhlas dan berkepentingan atau yang ikhlas tetapi gopoh untuk cepat menang melalui jalan yang nampaknya seperti pendik dan mudah.

Perlu diingatkan di sini bahawa Posting ini ditulis sempena senerio Lompat Melompat yang berlaku dan tidak sekali-kali bertujuan untuk mempersoalkan keikhlasan atau jasa perjuangan mana-mana badan atau pun parti. Kita berdoa semoga Allah swt memberikan taufiqNya kepada semua mereka yang berjuang dengan ikhlas dan kesungguhan.

jamaludin-osman-hee-yit-foong1

Mereka dipilih oleh majoriti pengundi di kawasan masing-masing, kini berkhidmat kepada minoriti pengundi kawasan tersebut, melawan pengundi dan petugas yang bertungkus lumus memenang dan menaikkan mereka semasa Pilihanraya. Ini menghampakan hati pemerhati, apatah lagi hati-hati pengundi dan petugas. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Dikebanyakan negara umat Islam, percaturan kepartaian tanpa manhaj perjuangan yang jelas adalah senerio biasa dan melata. Rakyat dan pengundi sering hilang tempat pergantungan dan harapan masadepan. Kini harapan umat tinggal kepada mereka yang ikhlas berjuang dengan Manhaj yang sahih semata-mata.

Menggariskan matlamat perjuangan organisasi adalah satu perkara, dan ianya mudah, namun mendidiktarbiyah dan menyediakan ahli dan pendokong serta menggariskan cara-cara untuk mencapai matlamat tersebut adalah suatu perkara yang lain pula. Kesemua di atas dinamakan Manhaj. Ia tidak semudah yang disangka oleh sesiapa yang ingin menjadi pejuang atau pemimpin ummah. Ia tidak semudah untuk diterima oleh orang yang gopoh untuk menang cepat. Ia tidak mudah diperjuang dan dipertahankan oleh orang yang tidak ditarbiyah dengan baik.

Bagi Islam, Allah swt menggariskan Perjuangan dijalanNya melalui Al-Quran. Ia adalah laluan yang diambil Rasulullah saw mengikuti apa yang telah digariskan Al-Quran yang ditafsir Baginda saw dengan Hadis dan ditunjukkan melalui Seerah yang suci.

ir-nizar

Rentetan senario Lompat Melompat: Menteri Besar Perak dari Pakatan Rakyat, Ir Nizar mempertahankan jawatannya dalam satu sidang akhbar. Di kanan beliau DS Anwar Ibrahim, ketua PR. Menyelesaikan kemelut ini, PR mengharapkan undi majoriti rakyat dalam pilihanraya kecil. BN mengharapkan undi majoriti wakil-wakil rakyat dalam DUN. Sultan Perak tidak berkenan membubarkan DUN, oleh itu tiada Pilihanraya Kecil. Mahkamah belum memutuskan samada berpihak kepada PR (jika menerima Surat Letak Jawatan yang ditandatangani awal & diletak tarikhnya kemudian di ruang kosong) atau Sultan+BN (jika menerima secara lisan wakil yang mengatakan mereka tidak meletakkan jawatan). Hari-hari ini menyaksikan negeri Perak dan rakyatnya mempunyai 2 ketua tertinggi, suatu yang menyedihkan, bahkan membahayakan jika berlarutan.

Mereka yang memahami Manhaj Perjuangan akan mendapati bahawa “beribadah kepada Tuhan, berjihad demi meneguhkan (tamkin) Agama, memperkasakan Syariat adalah tugas asasi kita didalam hidup ini” ….. “Membentuk umat, mendidik masyarakat, mencapai Cita-cita yang digariskan, memenangkan Prinsip-prinsip memerlukan kepada umat atau organisasi sekurang-kurangnya kekuatan jiwa yang hebat bercirikan (i) kemahuan yang kuat tidak diresapi lemah semangat, (ii) kesetiaan yang teguh yang tidak diubah oleh sikap acuh tak acuh dan pengkhianatan, (iii) pengorbanan yang besar yang tidak dihalang oleh sifat tamak atau bakhil dan (iv) mengenali, meyakini dan menghormati Prinsip yang boleh memeliharanya dari kesilapan, menyeleweng, bertolak ansur atau tertipu oleh orang lain”. [Hasan Al-Banna]

Kesemua di atas tidak mungkin dicapai di dalam diri ahli dan pimpinan dalam satu-satu organisasi atau parti melainkan dengan jalan Tarbiyah yang membersihkan jiwa pejuang-pejuang Kebenaran.

“Sesungguhnya parti-parti ini tidak menggariskan program dan Manhajnya sehingga kini. Kesemua mereka mendakwa bekerja untuk kepentingan umat di setiap aspek usaha ke arah kebaikan. Akan tetapi apakah perincian kerja-kerja ini? Apakah cara-cara yang disediakan ke arah itu ? Apakah halangan-halangan yang menanti perlaksanaannya ? Apakah persediaan untuk menghadapai halangan-halangan tersebut ? Tiada jawapan yang jelas bagi persoalan-persoalan tersebut pada ketua dan pimpinan parti-parti berkenaan. Mereka sepakat dalam tiada jawapan konkrit kepada persoalan-persoalan di atas. Begitu juga mereka sepakat dalam satu perkara lagi iaitu dalam cantas mencantas demi mendapat kuasa, menggerakkan segala kempen kepartaian, menggunakan semua cara bersih dan kotor dalam mencapai kuasa tersebut, mencalar maruah lawan dari parti lain. Oleh yang demikian kita percaya parti-parti ini telah merosakkan setiap bidang kehidupan manusia, membantutkan kepentingan mereka, merosakkan akhlak mereka, menghancurkan ikatan sesama mereka, memberikan kesan buruk kepada kehidupan mereka dimata umum atau diperingkat khusus” [Hasan Al-Banna]

gaza

Parti HAMAS menang 63% dalam Pilihanraya Umum Palestin II pada 25/1/2006. Sejak itu rakyat dan para pengundi Palestin disekat bantuan kewangan dan makanan, diboikot politik, diserang dari udara, laut dan darat mengorbankan ribuan umatnya. Kini masuk tahun ke 3. Namun wakil-wakil rakyat, para pengundi dan rakyatnya tidak berganjak dari pilihan mereka. HAMAS yang ditawar Bush USD3bilion jika mengiktiraf ”Israel” dan melucutkan senjata tidak berganjak dari prinsip mereka dengan kata PM Ismail Haniyeh, “Lan naktarif bi Israel” (kita tidak akan mengiktiraf ”‘I.s.r.a.e.l’ “. “Putuskan apa yang engkau hendak buat keputusan (kami akan menanggungnya dengan sabar). Sesungguhnya engkau membuat keputusan hanya di dalam kehidupan di dunia ini sahaja. Sesungguhnya kami telah beriman kepada Tuhan kami, agar Dia mengampunkan dosa-dosa kami (kami tidak akan berganjak)…” (Taha:72). Begini hasilnya jika parti, pemimpin dan ahlinya, serta rakyat ditarbiyah dengan bersungguh-sungguh dan sabar di atas Manhaj yang sahih.

“Penyakit umat ini ialah lemah akhlak, hilang idola hakiki, mengutamakan kepentingan peribadi melebihi kepentingan awam atau umat, pengecut dalam berhadapan dengan realiti, lari dari tugas-tugas mengubati penyakit masyarakat dan perpecahan yang dibenci Allah. Adapun ubatnya pula ialah mengubati jiwa-jiwa dan membangunkan akhlak orang ramai. Firman Allah swt bermaksud, “Berjayalah orang yang membersihkannya (jiwa) dan sungguh binasalah orang yang mengotorinya” (Surah Asy-Syams)” [Hasan Al-Banna]

hasan-al-banna

“Jika kamu merujuk kepada sejarah kebangkitan berbagai umat di Barat dan di Timur, dulu dan kini, kamu akan melihat mereka yang berjuang disetiap kebangkitan yang berjaya dan berhasil ,adalah kerana mereka mereka mempunyai Manhaj yang digariskan yang di atasnya mereka berjuang. Mereka mempunyai hadaf (objektif-objektif) yang kearahnya mereka tuju … tanpa bosan dan futur. … Aku percaya wahai saudara, setiap putaran sejarah dan semua kebangkitan dalam sesebuah ummah berjalan diatas Undang-undang Alam ini, termasuk kebangkitan-kebangkitan agama yang dipimpin oleh para Nabi dan Rasul as. … Aku dapati sifat gopoh tertanam kukuh didalam peribadi kita, cepat terkesan, gelora perasaan dan sebagainya, menjadikan kebangkitan kita sekadar lonjakan perasaan , didesak oleh faktor yang sementara sifatnya, kemudian menyejuk dan padam seolah-olah macam tiada apa-apa berlaku … Wahai Ikhwan, terutama mereka yang bersemangat ingin cepat menang diantara kamu. Dengar dariku kalimat yang tinggi berkumandang dari atas minbar di Muktamar ini. Sesungguhnya Jalan kamu ini telah digariskan fasa-fasanya, telah diletakkan garis panduannya. Aku tidak akan menyalahi garis-garis panduan yang aku amat meyakini bahawa ia adalah jalan yang paling selamat untuk sampai (ke matlamat). Memang, kekadang ia jalan yang panjang, tetapi tidak ada jalan yang lain. Kehebatan seseorang akan terpancar melalui kesabaran, teguh, bersungguh dan bekerja tanpa henti. Sesiapa dikalangan kamu yang gopoh ingin memetik buah sebelum masak atau memetik bunga sebelum kembang, maka aku sekali-kali tidak bersama dia. Elok sekiranya dia meninggalkan Dakwah ini dan pergi ke perjuangan-perjuangan lain. Sesiapa yang bersabar bersama aku sehingga benih tumbuh, pokok menghijau, buah meranum dan tiba hari memetiknya, maka pahala bagi dia ada disisi Allah. Tidak akan terlepas dari kita dan dia pahala dari 2 kebaikan samada Kemenangan dan Kepimpinan atau Syahid dan Kebahagiaan”. [Hasan Al-Banna]

Sesungguhnya Agama ini telah tegak hasil jerih payah generasi-generasi terdahulu diatas tunggak-tunggak yang kukuh iaitu Iman kepada Allah, Zuhud dari keseronokan kehidupan yang fana ini dan mengutamakan Negeri yang kekal abadi, pengorbanan dengan darah, ruh, harta dijalan memenangkan Kebenaran, cinta mati di jalan Allah dan kesemua itu melalui petunjuk Al-Quran Al-Kareem. Maka oleh itu, di atas asas-asas ini jugalah kamu mesti mengasaskan kebangkitan kamu. Perbaikilah jiwa-jiwa kamu, fokus betul-betul terhadap Dakwah kamu, pimpinlah umat ke arah Kebaikan. Allah bersama kamu dan sekali-kali Dia tidak mensia-siakan amal kamu.” [Hasan Al-Banna]

Ustaz Halim INIJALANKU www.inijalanku.wordpress.com

|
This entry was posted on 7:49 AM and is filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.

0 comments: