Terima Kasih ya ALLAH.....
8:29 AM | Author: Ibnu Siddique

Abu Dzar al-Ghifari r.a. menerangkan bahawa Nabi s.a.w. bersabda tentang apa yang beliau riwayatkan dari Rabb-nya, ‘Azza wa Jalla, sesungguhnya Dia berfirman:

“Wahai hamba-Ku, sesungguhnya Aku telah mengharamkan kezaliman kepada diri-Ku dan Aku menjadikan kezaliman itu haram di antara kamu. Oleh kerana itu, janganlah kamu saling menzalimi.”

“Wahai hamba-Ku, kamu semua tersesat, kecuali yang Ku-beri petunjuk. Oleh kerana itu, mintalah petunjuk kepada-Ku, nescaya Aku memberikannya kepadamu.”

“Wahai hamba-Ku, kamu semua lapar, kecuali yang Ku-beri makan. Oleh kerana itu, mintalah makan kepada-Ku, nescaya Aku memberikannya kepadamu.”

“Wahai hamba-Ku, kamu semua telanjang, kecuali yang Ku-beri pakaian. Oleh kerana itu, mintalah pakaian kepada-Ku, nescaya Aku memberikannya kepadamu.”

“Wahai hamba-Ku, sesungguhnya kamu semua berbuat salah di malam hari dan siang hari. Sedangkan Aku mengampuni semua dosa. Oleh kerana itu, mohonlah ampun kepada-Ku, nescaya Aku mengampunimu.”
“Wahai hamba-Ku, kamu tidak akan mampu memberi mudharat untuk-Ku sehingga boleh menimpakan mudharat kepada-Ku. Dan kamu tidak akan mampu memberi manfaat untuk-Ku sehingga boleh memberikan manfaat kepada-Ku.”

“Wahai hamba-Ku, meskipun yang pertama dan terakhir, baik jin mahupun manusia di antara kamu berada pada hati orang yang paling bertakwa di antara kamu, maka hal itu tidak akan menambah apapun terhadap kekuasaan-Ku.”

“Wahai hamba-Ku, meskipun yang pertama dan terakhir, baik jin mahupun manusia berada pada hati orang yang paling jahat di antara kamu, maka hal itu tidak akan mengurangi apapun dari kekuasaan-Ku.”
“Wahai hamba-Ku, meskipun yang pertama dan terakhir, baik jin mahupun manusia, berkumpul di sebuah bukit dan mohon kepada-Ku. Lalu Aku mengabulkan permohonan mereka masing-masing, maka hal itu tidak mengurangi sedikitpun apa-apa yang ada pada-Ku, kecuali seperti jarum yang dicelupkan ke laut dan diangkat lagi.”

“Wahai hamba-Ku, sesungguhnya Aku mencatat amalmu dan membalasnya. Oleh kerana itu, barangsiapa mendapatkan kebaikan, maka hendaklah ia memuji Allah. dan barangsiapa mendapatkan selain itu, maka janganlah mencela, selain dirinya sendiri.”
Hadis Riwayat Muslim.

Katakanlah:
“Dialah Allah, Yang Maha Esa. Allah tempat meminta segala sesuatu. Tidak beranak dan tidak pula diperanakkan. Dan tidak ada sesuatu yang sebanding dengan Dia.”
Al-Ikhlas: 1-4.
|
This entry was posted on 8:29 AM and is filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.

0 comments: